Sunday, July 18, 2010

Usahasama UEM-Bina Puri raih kontrak RM997 juta

KUALA LUMPUR 16 Julai - Kumpulan UEM hari ini berkata, syarikat usahasamanya UEMC-Bina Puri telah berjaya mendapat kontrak bernilai RM997.22 juta apabila dilantik menjadi kontraktor utama bagi pembinaan kompleks Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Murah (LCCT) yang baharu.

UEM dalam kenyataannya di sini berkata, kontrak yang dianugerahkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) meningkatkan buku tempahan pembinaannya kepada RM3.7 bilion.
UEMC-Bina Puri merupakan usahasama 60:40 antara anak syarikat UEM, UEM Construction Sdn. Bhd. dengan Bina Puri Holdings Bhd. (Bina Puri).

Kontrak yang diperoleh UEMC-Bina melibatkan kerja mereka bentuk, pembinaan, penyiapan, pengujian dan juga pentauliahan termasuk penyelenggaraan LCCT baharu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM, Datuk Izzaddin Idris berkata, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan serta merta dan dijangka siap pada 15 April 2012 atau tempoh selama 20 bulan.

Sementara itu, Bina Puri Holdings Bhd. dalam kenyataan berasingan mengesahkan telah menerima surat pelantikan itu pada hari ini.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Tee Hock Seng berkata, dengan kontrak itu, nilai tempahan buku Bina Puri kini meningkat kepada RM2.7 bilion.

''Jumlah nilai kontrak yang diperoleh Bina Puri pada tahun ini ialah RM1.51 bilion,'' katanya.

UTUSAN MALAYSIA, 17 Julai 2010

No comments:

Post a Comment