Sunday, July 18, 2010

UEMC-Bina Puri kontraktor LCCT, Projek RM997.23 juta siap dalam 20 bulan

UEMC-Bina Puri JV, sebuah syarikat usaha sama antara anak syarikat UEM Group, UEM Construction Sdn Bhd (UEMC) dan Bina Puri Holdings Bhd dipilih sebagai kontraktor utama bagi membina kompleks tetap terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) yang baru.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia bagi mengumumkan penganugerahan kontrak berkenaan kepada syarikat itu berkata, kerja bernilai RM997.23 juta itu perlu disiapkan dalam tempoh 20 bulan.

Ia membabitkan kerja mereka bentuk, membina dan menyelenggara terminal utama, bangunan satelit, laluan penghubung serta tempat meletak pesawat untuk menggantikan terminal LCCT sedia ada yang semakin sesak.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Kumpulan UEM Group, Datuk Izzaddin Idris dalam kenyataannya berkata, kerja pembinaan akan dimulakan dengan serta-merta yang mana UEMC serta Bina Puri sudah pun menyediakan keperluan bagi melaksanakan projek LCCT yang baru itu.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman membina KLIA serta beberapa projek infrastruktur penting lain sebelum ini, kumpulan itu yakin dapat membangunkan kompleks LCCT menepati taraf antarabangsa.

“Kontrak terbaru ini membolehkan UEM Group meningkatkan nilai kontrak dalam tangannya kepada RM3.7 bilion,” katanya sambil menjelaskan, UEMC menguasai 60 peratus kepentingan dalam syarikat usaha sama itu manakala Bina Puri pula sebanyak 40 peratus.

Pengarah Urusan Bina Puri, Tan Sri Tee Hock Seng dalam kenyataan berasingan pula berkata, pelaksanaan projek itu dijangka akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010.

“Dengan tambahan projek itu, nilai tempahan projek semasa kumpulan akan meningkat daripada RM1.51 bilion kepada RM2.7 bilion,” katanya.

Sementara itu, jurucakap MAHB ketika dihubungi berkata, majlis pecah tanah bagi pembinaan terminal tetap LCCT baru yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari bangunan terminal utama KLIA dan berhampiran dengan Kompleks Bunga Raya itu dijangkakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, terminal LCCT baru itu apabila siap nanti mampu mengendalikan sehingga 30 juta penumpang setahun, sekali gus mampu menampung peningkatan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan tambang murah.

BERITA HARIAN, 17 Julai 2010

No comments:

Post a Comment